Penjawat awam salah guna kuasa didenda RM30,000

Penjawat awam salah guna kuasa didenda RM30,000

TERTUDUH (berkerusi roda) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penolong pegawai persekitaran didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menyalahgunakan kedudukan dan jawatan untuk memberi projek kepada syarikat milik adiknya berjumlah RM19,663.50, enam tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan mengenakan denda itu selepas tertuduh, Ab. Hanif Ab. Hamid, 43, menukar pengakuan dan mengaku bersalah terhadap tiga daripada sembilan pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan tiga kertas pertuduhan pilihan, tertuduh yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin telah mendapatkan perkhidmatan pembekalan bagi pembelian peralatan tandas, racun dan mesin rumput masing-masing berharga RM10,163.50, RM5,000 dan RM4,500 kepada Perniagaan Thronez Enterprise milik adiknya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Unit Bekalan dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) PKD Jasin antara 4 Julai hingga 2 November 2018.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 161 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat yang mencadangkan hukuman setimpal kerana melibatkan projek kerajaan, selain memohon pertimbangan mahkamah terhadap pertuduhan lain yang tertuduh tidak mengaku bersalah.

Peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin merayu hukuman ringan kerana anak guamnya menghidap penyakit saraf kronik serta memerlukan rawatan selain berdepan tindakan pemberhentian kerja.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan pilihan atau enam bulan penjara jika gagal bayar dan mempertimbangkan pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah seperti dipohon pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN