MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membenarkan peniaga di Medan Samudera, Banda Hilir di sini membuka perniagaan berkonsepkan uptown sepanjang tempoh 54 jam Zon Bebas Kenderaan dilaksanakan dari Jumaat hingga Ahad.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, hasil pertemuan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dengan semua peniaga baru-baru ini, mereka bersetuju mengemukakan cadangan perniagaan berkonsep baharu yang akan dilaksanakan nanti.
“Alhamdulillah hasil penerangan Abdul Razak dan saya berikan semua peniaga faham usaha kerajaan negeri melaksanakan Zon Bebas Kenderaan selama 54 jam. Mereka telah dibenarkan berniaga di atas jalan raya di depan Medan Samudera seperti uptown dan saya lihat mereka dapat faham hasrat ini.
“Bagi MBMB, kita menanti kertas cadangan daripada peniaga, cara perniagaan konsep baharu yang akan mereka buat,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pesta Gendang Nusantara di Dataran Bandaraya MBMB di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 100 peniaga di Medan Samudera meminta kerajaan negeri mempertimbangkan penutupan jalan Zon Bebas Kenderaan daripada 54 jam kepada hanya 18 jam.
Tambah Shadan, peniaga perlu keluar berniaga di tepi jalan sepanjang tempoh pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan kerana ia mampu menarik minat kira-kira 18,000 pelancong yang berjalan di kawasan itu setiap hujung minggu.
“Kalau kehadiran orang berjalan seramai 18,000 setiap hujung minggu, ini adalah peluang kepada mereka (peniaga) untuk menambah pendapatan. Saya yakin dan percaya ia akan menambah kedatangan orang datang ke situ,” ujarnya.
Menurutnya, usaha untuk membantu peniaga terlibat tidak boleh dilaksanakan secara berseorangan, yang mana kerajaan negeri memerlukan kedua-dua pihak berganding bahu bagi memastikan kemajuan di kawasan berkenaan.
“Jika sekiranya peniaga masih tidak mahu keluar berniaga dari tempat asal mereka sewaktu pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan, adalah sukar untuk orang untuk datang ke situ.
“Peniaga di hadapan Bangunan Merah telah mendapat limpahan ekonomi ekoran penutupan jalan itu apabila mereka boleh meletakkan meja dan kerusi di atas jalan raya serta mendapat sambutan pelancong yang berjalan kaki di sepanjang laluan tersebut,” jelasnya.