Peniaga belasah isteri sehingga koma diperintah bela diri

Peniaga belasah isteri sehingga koma diperintah bela diri

ROSMAINI Abd. Raof diperintah membela diri atas tuduhan membelasah isterinya sehingga koma oleh Mahkamah Sesyen, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang peniaga yang dituduh membelasah bekas isterinya sehingga koma tiga tahun lalu, diperintah membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Fatimah Zahari membuat keputusan itu terhadap Rosmaini Abd. Raof, 41, selepas mendengar hujah daripada Timbalan Pendakwa Raya, Bari’ah Jalil.

“Setelah mahkamah meneliti hujahan pendakwaan, dokumen eksibit dan hujah bertulis pada akhir pendakwaan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Tertuduh diarah membela diri mengikut pertuduhan Seksyen 325/326 Kanun Ke­seksaan,” katanya.

Tertuduh diberi tiga pilihan untuk membela diri, iaitu pertama dengan berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan. Kedua, boleh memberi kenya­taan tidak bersumpah dari tempat saksi atau ketiga, memberi keterangan secara bersumpah.

Peguam, TC Lim yang menggantikan peguam bela, Salleh Togimin yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah.

Hakim kemudiannya me­netapkan prosiding membela diri pada 24 Januari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Rosmaini didakwa memukul Jahidah Nordin, isteri keti­ganya yang ketika itu sedang hamil empat minggu dengan memukul kepala, muka, tangan serta menghentakkan kaki pada belakang tangan sehingga menyebabkan kecederaan parah di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin di sini pada pukul 6 pagi, 4 Mei 2021.

Dia didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda serta hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.

Media pada 17 Mei 2021 melaporkan seorang kakitangan awam terpaksa bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah di sini selepas dipercayai dibelasah suaminya.

Tengkorak kepala Jahidah terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipercayai dipukul.

Pada 29 November 2021, Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan.

Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Se­remban dilaporkan membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN