PORT DICKSON: Penguatkuasaan larangan untuk aktiviti perkhemahan di tiga kawasan pantai awam yang terdapat di daerah ini disambut dengan baik oleh pengunjung.
Ketika tinjauan Utusan Malaysia di tiga pantai tersebut iaitu Pantai Cahaya Negeri, Pantai Saujana dan Pantai Bagan Pinang di sini semalam mendapati larangan tersebut diikuti oleh para pengunjung dan tiada sebarang khemah dipasang sepanjang pantai terlibat.
Terdapat juga banyak kain rentang yang dipasang oleh pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) bagi memaklumkan larangan tersebut kepada pengunjung selain kehadiran anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang membuat pemantauan.
Seorang pesara guru, Marina Ng, 65, juga bersetuju dengan larangan berkenaan dan melihat keadaan pantai lebih selesa untuk aktiviti perkelahan pengunjung.
“Bagi saya larangan ini lebih kepada aspek keselamatan, kita tidak tahu apa yang berlaku di dalam khemah. Jika mahu diberikan kebenaran aktiviti perkhemahan mesti pastikan ada pemantauan kerap dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Ia bukan mengenai isu kebersihan sangat, bagi saya di Pantai Cahaya Negeri ini keadaannya bersih kerana ada kehadiran petugas kutipan sampah cuma apabila larangan perkhemahan ini keadaannya lebih selesa,” katanya.
Baru-baru ini pihak MPPD mengeluarkan notis pemakluman larangan aktiviti perkhemahan di tiga kawasan pantai peranginan tersebut.
Menerusi notis pemakluman yang dikeluarkan itu, sebarang pelanggaran terhadap larangan tersebut, tindakan boleh diambil di bawah Undang-Undang Kecil Taman (MPPD) 2008 dan boleh dikompaun sebanyak RM1,000.
Berkata kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua MPPD, Nurhazelin Makli berkata, larangan berkenaan dikuatkuasakanhasil aduan dan maklum balas pengunjung berkaitan aspek keselesaan bagi tujuan santai atau perkelahan, kebersihan dan nilai estetika pantai sepanjang cuti persekolahan pada bulan Disember lalu.
“Sehubungan dengan itu, MPPD dengan sokongan pentadbiran kerajaan negeri telah bersetuju untuk menetapkan pantai awam sebagai kawasan larangan aktiviti perkhemahan bermula di tiga kawasan pantai awam itu berkuat kuasa serta merta,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung dari Seremban, Suhaimi Mohd. Rose, 58, berkata, pantai-pantai di Port Dickson akan tetap dikunjungi walaupun terdapat penguatkuasaan larangan itu.
“Walaupun ada yang kata ramai tidak akan datang ke Port Dickson lagi tetapi bagi saya pengunjung tetap akan hadir, mereka bersama keluarga boleh juga membentangkan tikar untuk berkelah dan bersantai,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kecil di Pantai Saujana, Ikhwan Masran, 21, memberitahu, jualan tikar di gerainya meningkat sejak larangan itu dikuatkuasakan.-UTUSAN.