Penghulu imamkan solat hajat murid SK Jerantut Jaya hadapi peperiksaan - Utusan Malaysia

Penghulu imamkan solat hajat murid SK Jerantut Jaya hadapi peperiksaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT : Penghulu Mukim Budu, Lipis, Mohd Sofi Hamzah mengimamkan solat hajat yang dihadiri kira-kira 700 orang guru, murid, ibu bapa dan penjaga serta ahli jawatan kuasa Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) di dataran perhimpunan Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya di sini hari ini.

Program Solat Hajat Perdana turut diikuti bacaan surah Yasin yang dipimpin oleh Guru Pendidikan Islam sekolah tersebut, Mohamad Najib Mohamad Nawi.

Guru Besar SK Jerantut Jaya, Jamalludin Baharun berkata, majlis tersebut merupakan hasrat dan tawakal untuk memudahkan seramai 102 orang murid sekolah itu menghadapi Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bermula 16 Januari ini serta 666 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam akan menjalani Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang bermula 8 Januari (Isnin) ini.

“Majlis yang dimulakan dengan solat dhuha diikuti solat hajat dan bacaan Yasin juga mengambil peluang memperoleh keberkatan hari Jumaat penghulu segala hari mendoakan semua Alumni SK Jerantut Jaya yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Menengah Agama (SMA) pada 30 Januari ini dengan mendoakan kejayaan dan kecemerlangan mereka dalam ujian tersebut,” katanya di SK Jerantut Jaya di sini hari ini.an

Menurut Jamalludin, majlis tersebut sudah menjadi tradisi dan amalan di sekolah itu sebagai pembinaan dan pemantapan akidah serta menjana insan yang solehah bagi kalangan murid selari dengan aspirasi pembelajaran agama Islam menerusi kurikulum Pendidikan Islam.

“Kita bersyukur kepada Allah kerana cuaca sebelah pagi hari ini cukup cerah walaupun masih dalam musim tengkujuh sehingga majlis Solat Hajat Perdana dan bacaan Yasin dapat disempurnakan sehingga selesai.

“Turut memuliakan termasuk memurnikan pengurusan majlis tersebut, iaitu seramai 51 orang guru, guru KAFA (17 orang), ibu bapa dan penjaga (43 orang) dan ahli jawatan kuasa PIBG seramai empat orang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sofi berkata, dia yang juga memegang tugas sebagai Pengerusi PIBG melaksanakan tanggungjawab tersebut sejak beberapa tahun lalu setiap kali majlis solat hajat, solat dhuha, bacaan Yasin serta program keagamaan sekolah itu.

Ujarnya, menjadi harapannya serta kalangan ibu bapa dan penjaga di situ menerusi majlis tersebut supaya anak masing-masing yang akan menduduki UPKK, UASA dan SPM diberi kesihatan, kekuatan ingatan, tenang serta dipermudahkan ketika menjawab soalan sehingga memperoleh kejayaan nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya