Pengarah syarikat kena bela diri atas pertuduhan iklan pakej haji furada - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat kena bela diri atas pertuduhan iklan pakej haji furada

AGUS Rizal Mat Ali (kiri) bersama peguamnya keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas keputusan bela diri atas pertuduhan mengiklankan pakej hari furada tanpa lesen. -UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang pengarah syarikat agensi pelancongan membela diri atas pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji sah daripada Tabung Haji (TH), dua tahun lalu.

Hakim Mohd Kafli Che Ali bepuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Agus Rizal Mat Ali, 52, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding bela diri didengar dua hari pada 23 Februari dan 1 Mac ini.

Ketika menyampaikan keputusan tersebut, Mohd. Kafli berkata, mahkamah telah mendengar keterangan lapan saksi, hujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan serta meneliti autoriti yang dikemukakan.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie oleh itu tertuduh diperintah membela diri.

“Kamu diberi tiga pilihan iaitu pertama, membela diri dengan memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi dan boleh disoal balas, kedua memberi keterangan dalam kandang secara tidak bersumpah, tanpa disoal balas atau ketiga berdiam diri,” katanya.

MEMBELA DIRI

Sementara itu, peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili Agus Rizal berkata, anak guamnya mengambil pilihan pertama untuk membela diri.

“Bagaimanapun, pembelaan belum melengkapkan senarai saksi yang akan dipanggil kelak, maka saya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk perkara tersebut,” katanya.

Dalam kes ini, pendakwaan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohd Nawi.

Pada 9 Ogos 2022, Agus Rizal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah daripada TH.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang pengarah syarikat itu UC Travel Sdn. Bhd., telah mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada bagi musim 2022M/1443H di media sosial Facebook milik syarikat itu.

Perbuatan didakwa dilakukan dengan cara mengiklankan bahawa dia boleh menjalankan atau membuat transaksi perniagaan sebagai pengelola perjalanan ke tanah suci bagi menunaikan haji, walhal syarikat itu tidak mempunyai lesen pengelola jemaah haji secara sah daripada TH.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabatnya di Platinum Walk, Jalan Langkawi 2, Danau Kota di sini pada 9 Mei 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 27(1)(b) Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dihukum bawah Seksyen 27 (2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya