Penganggur mengaku bersalah tipu urusan cari rumah sewa

Penganggur mengaku bersalah tipu urusan cari rumah sewa

ANGGOTA KPDN KELANTAN yang hadir mengendalikan kes berkait seorang penganggur mengaku bersalah menipu perkhidmatan mencari rumah sewa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu urusan perkhidmatan mencari rumah sewa dengan mengenakan bayaran sebanyak RM520 kepada seorang wanita, empat bulan lalu.

Tertuduh, Shaffiyah Virdanie Syamsul Amizan, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh sementara menunggu laporan sosial dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan wanita itu masih di bawah umur ketika melakukan kesalahan tersebut.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Shaffiyah Virdanie didakwa bersetuju menerima bayaran sebanyak RM520 melalui sebuah akaun bank tanpa mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa tertuduh dapat membekalkan perkhidmatan rumah sewa kepada seorang wanita.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa di sini pada 14 dan 15 September tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) (b) Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd. Sophian Zakaria dan Shafiq Mahadi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon supaya mahkamah mengurangkan hukuman kerana sudah menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 14  Februari depan untuk prosiding jatuh hukum.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN