JERANTUT: Warga peneroka di 37 tanah rancangan Felda Wilayah Jengka khususnya kawasan yang berisiko dilanda banjir diminta bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana tersebut.
Pengerusi Biro Sosial Gabungan Ketua-Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, kawasan tanah rancangan yang sering dilanda banjir adalah Felda Sungai Retang, Felda Kota Gelanggi 1 dan 2, Felda Sungai Tekam, Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak (PPTR) dan Felda Jengka 8.
Katanya, dalam musim tengkujuh dan cuaca tidak menentu ketika ini, banjir boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Jadi, seluruh warga peneroka dan keluarga di Felda Wilayah Jengka perlu sentiasa berwaspada bagi menghadapi banjir seperti mana tahun lalu dan sebelum ini.
“Kita perlu bersiap siaga daripada segi persediaan bekalan makanan, ubat-ubatan, dokumen penting seperti kad pengenalan dan ikut arahan pihak berwajib serta berpindah jika diarahkan berbuat demikian.
“Pastikan punca elektrik dalam keadaan selamat dan sentiasa melaporkan kepada Jawatankuasa Bencana bertugas di Felda Wilayah Jengka,” katanya di sini hari ini.
Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 turut mengingatkan anak-anak supaya tidak bermain di kawasan berarus deras dan sungai pada musim tengkujuh ini.
“Jika berlaku banjir, saya juga mengingatkan anak-anak supaya jangan bermain di kawasan yang berhampiran punca elektrik,” katanya. – UTUSAN