JERANTUT: Setelah kira-kira 40 tahun menunggu, seramai 292 peneroka Felda Jengka 24 di sini akan menerima geran hak milik tanah masing-masing yang dijadualkan pada 19 Januari ini.
Majlis penyerahan geran terakhir bagi tanah rancangan Felda di Gugusan Wilayah Jengka itu akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, warga peneroka di situ begitu teruja menunggu majlis berlangsung kerana tidak sabar menerima geran masing-masing.
“Kami memang tidak sabar menunggu hari yang cukup bersejarah dalam hidup kami setelah bergelar peneroka.
“Lebih gembira apabila warga peneroka di Felda Jengka 24 akan bertemu pemimpin nombor satu negeri ini iaitu menteri besar,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Razak berkata, teruja menunggu hari bersejarah itu, Jumaat depan, warga peneroka bergotong-royong menghias kawasan di tanah rancangan terbabit.
“Selain mengecat, kami turut bergotong-royong menebas, memotong rumput dan membersihkan kawasan kampung.
“Ia melibatkan kerjasama penduduk, pengurusan Felda, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Kami Anak Felda (KAF),” katanya. – UTUSAN