PONTIAN: Memasuki tahun baharu 2024, pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Pontian Kecil yang menelan kos RM5 juta sejak 2009 masih belum nampak bayangnya.
Walaupun Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP) yang dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) silih berganti, namun hingga kini masih gagal untuk menyiapkan jambatan tersebut.
Seorang penduduk, Jalaluddin Mohd. Said, 67, berkata, walaupun jambatan tersebut panjangnya hanya 1.5 kilometer dari bandar Pontian Kecil ke Pusat Perdagangan Pontian (PPP) tetapi pelbagai masalah timbul dalam pembinaannya.
“Sebagai timbal balik pengosongan jeti nelayan Sungai Pontian Kecil, kerajaan telah membina jeti pendaratan ikan yang baharu oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di PPP dengan kos RM2 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengimbas kembali projek tersebut yang sepatutnya siap pada tahun 2011, ia menghadapi pelbagai masalah termasuk penempatan penduduk di sepanjang Sungai Pontian Kecil selain pemilik bot yang enggan berpindah.
Projek tersebut merupakan sebahagian projek tebus guna pembangunan PPP antara YPJ Holdings dan WFC Development selaku pemaju utama bertujuan melancarkan pergerakan aliran trafik di bandar Pontian.
Seorang lagi penduduk, Ungku Abd. Rahman Ungku Mohd. Jaffar, 58, berkata, walaupun memasuki tahun baharu 2024, namun pembinaannya masih gagal disiapkan dengan pelbagai janji oleh pihak kontraktor kepada MPPn.
“Alangkah baiknya jika jambatan tersebut siap lebih awal, tiadalah berlaku kesesakan ketika musim perayaan dari Bandar Pontian ke persimpangan lampu isyarat di PPP,” ujarnya.
Katanya, tempoh 15 tahun merupakan jangka masa yang lama dan melibatkan pertukaran ramai Yang Dipertua MDP dan MPPn.
“Kami mahu yang terbaik untuk Pontian dengan melihat Sungai Pontian Kecil dinaik taraf menjadi lebih menarik sejajar dengan kedudukan daerah ini di Penghujung Benua Asia,” katanya.