Penduduk Paya Rumput 91,300 orang, balai polis hanya satu

Penduduk Paya Rumput 91,300 orang, balai polis hanya satu

BALAI Polis Tanjung Minyak, Melaka yang kecil dan beberapa bangunan lain semakin uzur di DUN Paya Rumput. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Dalam Negeri diminta mempertimbangkan permohonan bagi pembinaan sebuah lagi balai polis di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini DUN itu hanya mempunyai sebuah balai polis terletak di Tanjung Minyak.

Menurutnya, keperluan ketika ini amat mendesak kerana Balai Polis Tanjung Minyak dengan 13 anggota tidak mencukupi untuk jumlah penduduk yang mencecah 91,300 orang mengikut Jabatan Perangkaan.

Beliau yang juga Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, balai polis sedia ada juga tidak cukup kemudahan selain terlalu kecil dan semakin uzur.

“Saya berharap agar rintihan kami di DUN Paya Rumput dapat didengari oleh Kerajaan Pusat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ini adalah untuk kesenangan rakyat.

“Kalau kita lihat di DUN Asahan penduduknya mungkin tidak sampai 20,000 orang tetapi mempunyai empat balai polis. Jadi saya sedang berusaha dan saya berharap perkara ini diambil perhatian serius terutama oleh pihak berkuasa terlibat,” katanya kepada pemberita selepas selepas merasmikan Gelanggang Persilatan Singa Bertujuh di Kampung Baru, Jalan Sungai Air Hitam di sini, semalam.

Tambah Rais, permohonan bagi pembinaan itu telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan dan dimaklumkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh agar mendapat perhatian sewajarnya.

Ujarnya, DUN Paya Rumput mempunyai tujuh kampung tradisi, taman perumahan (24), surau (24) dan masjid (7). Justeru, keperluan itu amat mendesak bagi menampung kes-kes jenayah yang berlaku.

“Saya tidak kisah soal sekolah atau klinik kesihatan tetapi untuk balai polis memang saya merayu dan berharap disegerakan kerana keadaan balai sedia ada, boleh lawat dan lihat ia bukan keadaan mencukupi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya