GAZA: Penduduk Palestin mula kembali ke utara Gaza yang musnah selepas tentera Israel berundur untuk menumpukan serangan di tengah dan selatan Gaza pula.
Serangan bom Israel selama lebih tiga bulan memusnahkan hampir keseluruhan besar kawasan pesisir pantai, meragut nyawa lebih 23,000 orang awam dan mengakibatkan sekitar 2.3 juta penduduk Palestin menjadi pelarian di negara sendiri.
Sebahagian besar rumah penduduk musnah, memaksa mereka mendirikan khemah sementara dan perang tidak memungkinkan mereka membina kembali kediaman mereka dalam masa terdekat.
Sekatan Israel pula mengehadkan bekalan makanan, bahan api dan ubat-ubatan secara mendadak, mewujudkan apa yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu malapetaka kemanusiaan.
Angka kematian di Gaza terus meningkat dengan satu daripada setiap 100 rakyat Palestin terbunuh setiap hari sejak permulaan perang Israel-Hamas 7 Oktober lalu.
Dengan 23,469 terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel, penduduk Semenanjung Gaza kini kehilangan satu peratus daripada 2.3 juta penduduknya.
Lebih 10,000 daripada mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak dan kira-kira 7,000 dilaporkan masih berada di bawah runtuhan.
Menurut Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA), sehingga 1.9 juta orang atau lebih 85 peratus penduduk dipindahkan ke seluruh Semenanjung Gaza lebih daripada sekali.
Daripada jumlah ini, hampir 1.4 juta orang berlindung di 155 kemudahan UNRWA, yang tidak mempunyai keperluan minimum untuk menempatkan bilangan pelarian yang semakin bertambah.
“Kehidupan biasa, pergi bekerja, sekolah dan balik ke rumah tanpa rasa bimbang tentang kehidupan kini hanya tinggal kenangan atau mimpi, kata seorang penduduk Palestin kepada ABC News.
Menurut Program Makanan Sedunia (WFP), daripada hampir semua isi rumah Palestin yang dipindahkan, 93 peratus daripada mereka kini diancam kebuluran.
Akses kepada air juga sangat terhad, dengan kurang daripada 2 liter setiap orang setiap hari.
Jelas badan itu, lebih ramai penduduk kini tidak mempunyai pilihan selain mengambil apa sahaja yang ditemui termasuk bahan mentah yang tidak boleh dimakan untuk mengatasi kelaparan.
“Kami sudah sampai ke tahap di mana kami melihat mayat dimakan dan dibelasah oleh anjing di utara dan selatan Gaza.
“Para syahid dicampak di tepi jalan dan kanak-kanak terpaksa hidup tanpa ubat, susu, atau makanan,” kata Pegawai Bekalan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Hossam Abu Al-Atta.
Seorang bekas pelajar Universiti Islam Gaza berkata, semua masanya kini dihabiskan di jalanan untuk mencari makanan, bahan api dan bekalan asas lain untuk terus hidup.
“Tiada siapa yang ketawa, tiada siapa yang tersenyum. Semua orang sedang diselubungi kegelapan dan kesakitan,” katanya.