BAGAN SERAI: Peniaga makanan di sini mendakwa perniagaan mereka terkesan disebabkan harga barang mentah yang semakin meningkat selain kuasa beli pengguna yang semakin berkurangan disebabkan faktor ekonomi.
Untuk terus bertahan, ada peniaga yang terpaksa mengeluarkan wang simpanan sebagai modal pusingan.
Sehubungan itu, mereka mahu kerajaan mencari penyelesaian terhadap masalah ekonomi negara untuk meningkatkan semula kuasa beli rakyat.
Seorang peniaga, Muhammad Saiful Nizam Yusuf, 29, berharap kerajaan mewujudkan skim bantuan kepada peniaga kecil makanan yang semakin terhimpit disebabkan kenaikan harga barang sejak tahun lalu.
“Pendapatan jualan juga semakin berkurangan disebabkan kuasa beli rakyat yang merosot, manakala kos bahan mentah masih tinggi hingga kami rasa terbeban,” katanya ketika ditemui di Pusat Penjaja Medan Selera Jalan Bersatu di sini.
Menurutnya, dia terpaksa menaikkan harga makanan lebih RM1 daripada harga biasa disebabkan kenaikan harga barang ketika ini.
Peniaga burger, Azmi Din, 44, berkata, pendapatannya menjual burger di tepi jalan agak merosot jika dibandingkan dua tahun lalu.
Katanya, kenaikan bahan mentah yang ketara seperti daging, sos dan mayonis setahun lalu menyebabkan kos makin naik namun kuasa beli pelanggan semakin kurang.
“Ramai peniaga seperti saya amat tertekan dengan keadaan ini dan berharap agar kerajaan dapat membantu peniaga kecil yang mencari nafkah untuk keluarga,” katanya.
Seorang lagi peniaga makanan, Zamali Ahmad, 42, berkata, pendapatannya terjejas hampir 50 peratus disebabkan peningkatan kos bahan yang makin tinggi.
Katanya, selain itu ada bahan mentah yang sukar didapati di pasaran seperti beras tempatan, gula dan minyak masak paket di kawasan ini.
“Saya berharap agar kerajaan dapat mengawal kenaikan harga barang termasuk menyediakan bantuan untuk membantu peniaga kecil seperti kami,” katanya.