PADANG BESAR: Empat penceramah terkenal dari luar negara akan menyampaikan khutbah solat Jumaat dalam Bahasa Inggeris di empat buah masjid terpilih di negeri ini pada 26 Januari depan.
Mereka adalah Sheikh Assim Al-Hakeem di Masjid Alwi Kangar, Dr. Muhammad Salah di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar, Sheikh Wasim Kempson di Masjid Negeri Arau serta Dr. Abu Ameenah Bilal Philips di Masjid Terapung Al-Hussain Kuala Perlis.
Para ilmuwan tersebut akan berada di Perlis bagi menjayakan program Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2024 yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Januari 2024 di Dewan 2020 di sini.
Untuk rekod, PISC 2024 adalah seminar antarabangsa yang julung kali diadakan bertemakan ‘Light Of Tawheed’ yang mensasarkan penyertaan masyarakat tempatan dan luar negeri yang akan bertandang ke Perlis sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Program berkenaan adalah salah satu inisiatif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam perkembangan ilmu yang dilaksanakan melalui Jabatan Mufti negeri dan Pusat Dakwah MAIPs, Perlis Centre of Wisdom dengan kerjasama beberapa lagi pihak.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda MAIPs bilangan pertama pada tahun ini yang telah dianjurkan oleh MAIPs dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) di Masjid Jabal A’la Kampung Melayu, Kaki Bukit.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin telah berkenan menyampaikan bantuan MAIPs kepada seramai 20 orang asnaf terpilih dari kariah Kampung Melayu yang menerima bantuan wang tunai sebanyak RM400 setiap seorang dengan jumlah penuh pada kali ini iaitu RM8,000.-UTUSAN