Penagih dadah samun tiga kedai serbaneka dicekup polis - Utusan Malaysia

Penagih dadah samun tiga kedai serbaneka dicekup polis

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) seorang lelaki melakukan samun di sebuah kedai serbaneka di Seremban
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penagih dadah berjaya dicekup polis selepas melakukan jenayah samun di tiga buah kedai serbaneka di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian samun pada hari Ahad, Selasa dan terbaharu semalam membabitkan mangsa iaitu pekerja kedai berkenaan.

Menurut beliau, pada kejadian hari Ahad itu, polis telah menerima laporan kira-kira pukul 5.18 pagi daripada seorang perempuan berusia 20 tahun yang disamun ketika bekerja di kedai serbaneka di Jalan Dato Sheikh Ahmad di sini

Katanya, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM1,250 iaitu membabitkan wang tunai sebanyak RM250 dan seutas rantai emas milik mangsa.

“Pada Selasa (kelmarin) pula, kira-kira pukul 1.22 pagi, satu laporan diterima daripada seorang wanita berusia 36 tahun yang disamun ketika bekerja di kedai serbaneka di Jalan Temiang yang dipercayai oleh suspek yang sama dan melibatkan kerugian sebanyak RM775. 

“Pada pukul 2.45 pagi semalam, polis sekali lagi menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 27 tahun yang bekerja di kedai serbaneka di Jalan Tuanku Antah telah disamun oleh seorang lelaki bersenjatakan kayu besbol dengan anggaran kerugian RM125,” katanya di sini hari ini.

Ujar Arifai lagi, hasil siasatan mendapati suspek telah memasuki kedai serbaneka dengan berpura-pura membeli barang dan melakukan samun terhadap pekerja kaunter wang selepas mesin wang dibuka.

Menurutnya, suspek yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampau serta positif dadah jenis Methamphetamine dalam saringan air kencing dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya sambil memaklumkan dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes samun melibatkan kedai serbaneka 24 jam di sekitar bandar ini.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya