Penagih dadah ditangkap, lempar helaian, cebisan al-Quran - Utusan Malaysia

Penagih dadah ditangkap, lempar helaian, cebisan al-Quran

PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang penagih dadah ditangkap polis selepas dipercayai telah melemparkan helaian dan cebisan al-Quran yang telah dikoyakan di tepi Jalan Besar Palong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu oleh seorang wanita pada pukul 8.30 malam.

Menurutnya, wanita tersebut telah ternampak perbuatan tersebut dilakukan oleh seorang suspek lelaki berusia 37 tahun menaiki motosikal.

Selain itu kata beliau, pihak polis turut menerima dua lagi laporan polis berkaitan penemuan helaian al-Quran dan senaskhah al-Quran di atas Jalan Besar Palong.

“Bertindak atas maklumat dan laporan dari pengadu, polis telah berjaya menangkap suspek dan merampas senaskhah al-Quran. Hasil siasatan awal, suspek mengaku terlibat dalam kejadian ini dan saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Suspek juga mempunyai dua rekod jenayah di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan satu rekod di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ujar Chang Hook lagi, suspek akan di bawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 298 A Kanun Keseksaan/ 427 Kanun Keseksaan,” katanya yang turut menasihatkan semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya