JOHOR BAHRU: Pemilik sebuah stesen minyak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan menjual diesel sebanyak 500 liter bernilai RM1,175 kepada bas bernombor pendaftaran Singapura, tahun lalu.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Soraya Md. Tamyes, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Bagi pertuduhan pertama, wanita itu didapati melanggar Larangan dan Kawalan Penjualan Petrol dan Diesel Oleh Pemegang Lesen Runcit Bagi Pengusaha Stesen Minyak, iaitu menjual diesel tidak lebih 20 liter dengan sekali transaksi dalam sehari.
Tertuduh didakwa menjual diesel sebanyak 250 liter kepada bas dengan nombor pendaftaran asing di sebuah stesen minyak di Kempas Baru pada pukul 11.04 pagi, 19 Mei 2023.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut melakukan kesalahan sama kepada kenderaan yang sama dan di lokasi sama pada pukul 10.34 pagi, 30 Mei 2023.
Tertuduh didakwa melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 [PU (A)103/1974] di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN