JOHOR BAHRU: Projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Malaysia dan Singapura berjalan mengikut jadual dan diyakini dapat mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tahap kemajuan projek pembinaan jejambat marin RTS Link telah mencapai 68 peratus.
“Tahap kemajuan pembinaan jejambat daratan sebanyak 31 peratus, tahap kemajuan pembinaan stesen pada 41 peratus serta pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pula sebanyak 3.22 peratus.
“Ya, kita yakin 100 peratus projek ini berjalan dengan lancar dan akan dapat mula operasi pada 1 Januari 2027. Perkembangan projek mengikut jadual dan kita amat komited untuk menjayakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyempurnaan Span Menghubungkan Malaysia dan Singapura Bagi Projek RTS Link Antara Johor Bahru dan Singapura yang disempurnakan di titik pertemuan jejambat marin projek berkenaan di sini, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong menyempurnakan majlis tersebut dengan menandatangani plak sebagai gimik perasmian.
Sementara itu, Loke memberitahu, penetapan kadar tambang RTS Link hanya akan dibuat apabila projek itu menghampiri tarikh siap sepenuhnya.
“Kadar tambang akan ditetapkan pihak bertanggungjawab dan akan dimaklumkan sebelum RTS Link siap dan beroperasi. Pastinya harga tambang kompetitif dan menarik bagi memastikan pengguna kedua-dua negara dapat menikmati perjalanan rentas sempadan yang selesa.
“Paling utama, RTS Link ini akan memendekkan masa perjalanan rentas sempadan, khususnya apabila pemeriksaan imigresen bagi kedua-dua negara dilakukan di satu lokasi yang sama. Itu merupakan komponen paling utama dalam projek ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan terbuka dalam meneliti sebarang cadangan penambahbaikan jaringan penghubung antara Malaysia dan Singapura termasuk menerusi pelaksanaan perkhidmatan feri. – UTUSAN