Pembangkang makin lemah, tak mampu bawa usul tidak percaya - Utusan Malaysia

Pembangkang makin lemah, tak mampu bawa usul tidak percaya

AHMAD Maslan (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada kanak-kanak TAJ Daerah Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Usaha pihak pembangkang untuk meruntuhkan Kerajaan Perpaduan semakin lemah susulan tindakan enam Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokong terhadap Perdana Menteri.

Justeru, tindakan tersebut sekali gus menjadikan usaha pembangkang untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat pada 28 Februari depan diyakini tidak akan tercapai.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ada khabar angin mengatakan terdapat 10 lagi Ahli Parlimen daripada Bersatu bakal mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri dan tindakan itu menjadikan Perikatan Nasional (PN) semakin kekurangan wakil rakyat yang berpihak kepadanya.

“Ini kerana pembangkang tidak cukup angka, angka yang mereka nyatakan sebelum ini hanya khayalan. Oleh itu apabila sidang Dewan Rakyat bermula nanti, pembangkang tidak akan sesekali nyatakan usul undi tidak percaya,” katanya selepas merasmikan Majlis Apresiasi Tadika Agama Johor (TAJ) Daerah Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Sebelum itu, Anwar dilaporkan berkata bahawa pembangkang dilihat tidak mempunyai kekuatan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.

Kontroversi mengenai sokongan terhadap Anwar mula bertiup kencang susulan tulisan seorang penulis blog yang mendakwa pembangkang telah berjaya memperoleh kira-kira 120 akuan bersumpah (SD) untuk menjatuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan

Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor berkata, sokongan ahli Parlimen Bersatu kepada Perdana Menteri ketika ini kerana mereka tidak yakin dengan parti mereka.

“Mereka kini sudah tidak yakin dengan Bersatu yang ada sekarang dan mereka ada sebut Tan Sri Muhyiddin Yassin patut berhenti.

“Kelihatan berlaku krisis dalam Bersatu, jika tidak masakan enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan dikhabarkan 10 lagi akan menyusul,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Setakat ini, Ahli Parlimen Bersatu yang telah menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Bukit Gantung, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya