Pemandu lori direman tujuh hari, cuba rasuah penguat kuasa JPJ RM500

Pemandu lori direman tujuh hari, cuba rasuah penguat kuasa JPJ RM500

SEORANG pemandu lori dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi permohonan reman terhadapnya kerana disyaki menawar dan memberikan rasuah kepada anggota penguat kuasa JPJ semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemandu lori direman selama tujuh hari bermula semalam selepas disyaki menawar dan memberikan rasuah wang tunai sebanyak RM500 kepada penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ).

Permohonan reman telah dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Zainab Yahya di hadapan Majistret, Nurul Sakinah di Mahkamah Majistret Seremban, semalam.

Sepanjang tempoh reman terbabit, suspek lelaki berusia 20-an itu akan ditempatkan di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan di sini.

Suspek telah diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Fatimahwati Mehemad Osman.

Semalam, SPRM menahan seorang pemandu lori kerana disyaki menawar dan memberikan rasuah wang tunai sebanyak RM500 kepada penguat kuasa JPJ.

Kesalahan itu dilakukannya di Lukut, Port Dickson pada pukul 10.40 pagi semalam, sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang berkaitan lima kesalahan jalan raya.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira pukul 2.25 petang semalam ketika hadir di Pejabat SPRM Cawangan Port Dickson.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, suspek melakukan kesalahan tersebut bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Ia berkaitan kesalahan tiada lesen memandu, tiada lesen vokasional (GDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insuran dan pemeriksaan berkala Puspakom telah tamat tempoh.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya