KUALA SELANGOR: Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Axia dipandunya melanggar belakang kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di bahu jalan Kilometer 54.6 Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan lima pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 2.16 petang.
“Ketika kejadian pemandu Triton itu memberhentikan kenderaan di tepi jalan atas urusan kerja.
“Mangsa berusia 30-an yang memandu kereta itu melanggar Triton tersebut menyebabkan ia tersepit dalam kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya hari ini. – UTUSAN