Pelitup muka, kit ujian kendiri Covid-19 laris

Pelitup muka, kit ujian kendiri Covid-19 laris

PENINGKATAN kes Covid-19 menyebabkan permintaan terhadap pelitup muka bertambah. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan kes Covid-19 menyebabkan permintaan terhadap pelitup muka bertambah sebagai inisiatif me­lindungi diri daripada jangkitan pandemik khususnya ketika berada di tempat awam.

Pembantu pemasaran farmasi Caring di sini, Mashitah Padilah, 24, berkata, pelitup muka terus menjadi permintaan kebanyakan pelanggan di premis tersebut setelah laporan pertambahan kes Covid-19, baru-baru ini.

Katanya, susulan peningka­tan tersebut, farmasi itu me­ngambil inisiatif menambah jumlah stok pelitup muka agar pelanggan sentiasa mempunyai akses kepada bekalan.

“Selepas kes Covid-19 naik semula, baru ramai orang beli berbanding sebelum ini. Setiap hari memang ada ramai pelanggan datang untuk beli pelitup muka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penyelia farmasi Friends’ di Seksyen 35, Shah Alam, Nur Afiqah Bahar, 30, pula memberitahu, pelitup muka dan kit ujian kendiri Covid-19 semakin laris terjual ekoran peningkatan kes pandemik.

Menurut Afiqah, stok pelitup muka di farmasinya masih mencukupi dan pembekal berusaha untuk memastikan bekalan sentiasa tersedia untuk kegunaan orang ramai.

“Setiap hari ada sahaja pe­langgan datang untuk membeli pelitup muka, kit ujian kendiri mahupun cecair pembasmi kuman. Setiap orang mendapatkannya dalam kuantiti yang banyak.

“Farmasi sentiasa memastikan bekalan muka tidak terputus dan kami cuba berusaha untuk menyelaraskan stok dengan keperluan semasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri yang mahu dikenali sebagai William dan Lee berkata, sebagai ibu bapa, mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka setiap kali berada di tempat awam.

Menurutnya, mereka berusaha memastikan anak-anak berada dalam persekitaran kurang berisiko dengan membersihkan kawasan terdedah menggunakan cecair pembasmi kuman selain mengelak dari kawasan tumpuan orang ramai.

“Kalau bawa makanan di luar pun kami akan mensanitasikan meja dan tangan selepas makan,” ujarnya.

Tambah Lee, dengan keadaan anaknya yang mudah terkena jangkitan, dia sentiasa mengutamakan pemakaian pelitup muka terutama ketika berada di sekolah walaupun prosedur operasi standard (SOP) telah dilonggarkan.

“Sekolah sudah tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka, tapi saya minta cikgu untuk pastikan anak saya tetap memakainya,” katanya.

Sementara itu, Nur Fazilah Mohd. Rashid, 36, berkata, dia mematuhi semula saranan dikeluarkan Kementerian Kesihatan semasa penularan awal pandemik.

Katanya, kerisauan itu masih ada, namun dengan pengalaman sebelum ini, dia lebih bijak mengawal penularan tersebut dengan mengutamakan penjagaan kebersihan setelah seharian terdedah di luar.

“Sebagai ibu bapa, kita sendiri perlu ambil inisiatif de­ngan berjaga-jaga seperti pakai pelitup muka dan sanitasi tangan. Kita guna balik prosedur yang kementerian pernah bagi dahulu,” katanya.

Mengulas mengenai vaksinasi untuk kanak-kanak, Nur Fazilah menjelaskan, dia lebih memilih untuk menggunakan alternatif lain seperti penjagaan lebih rapi berbanding vaksinasi.

“Kalau pengambilan vaksin itu diwajibkan, saya tidak mempunyai pilihan lain. Namun jika ia satu pilihan, saya akan memilih untuk tidak mengambilnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya