ALOR GAJAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada peniaga menaikkan harga barangan selepas penguatkuasaan pelarasan tarif baharu air bermula 1 Februari ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelarasan tersebut hanya melibatkan tarif air dan tidak sepatutnya memberi kesan berlakunya kenaikan harga barang.
Menurutnya, KPDN akan memantau situasi tersebut selain bersedia menerima sebarang aduan jika berlaku unsur-unsur pencatutan.
“Tidak ada sebab berlakunya kenaikan harga barangan secara langsung kerana ia sekadar melibatkan pelarasan tarif baharu air.
“Namun kita sedang meneliti untuk menerima sebarang aduan sekiranya berlaku unsur-unsur pencatutan dan saya berharap perkara ini tidak akan terjadi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 di sebuah pasar raya di Masjid Tanah di sini, hari ini.
Sebelum ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.
Pelarasan tarif air domestik itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.
Tambah Armizan, PJIR merupakan salah satu inisiatif KPDN bersama pihak swasta dan industri sebagai cabang baharu Agenda Payung Rahmah.
Menurutnya, melalui program itu, sekumpulan pemain industri sektor peruncitan meliputi pasar raya dan pasar raya besar di Melaka dapat mewujudkan kerjasama strategik dengan kementerian untuk menawarkan jualan diskaun bulanan.
“Ini sekali gus menyediakan platform untuk sektor swasta dan industri memberikan sumbangan ihsan sebagai citra kepedulian mereka terhadap agenda kerajaan menangani isu kos sara hidup rakyat.
“PJIR akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri ini pada setiap 24 haribulan bermula dari Januari sehingga Disember 2024,”jelasnya. – UTUSAN