PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan didakwa mengabaikan beberapa aspek penting dalam pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan, kelmarin.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Fayhsal Wan Kamal berkata, ia terutamanya membabitkan aspek keselamatan data yang dikumpulkan.
Menurut beliau, di bawah undang-undang Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), data yang dikumpulkan kerajaan tidak dilindungi oleh undang-undang, tidak seperti kerangka antarabangsa seperti Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) Kesatuan Eropah.
“Malah masyarakat umum termasuk seorang mantan Timbalan Menteri juga telah berkongsi beberapa aspek kelemahan keselamatan sistem, antaranya yang membolehkan orang lain mendaftar bagi pihak individu tanpa kebenarannya, kata laluan yang boleh dipinda oleh pihak ketiga, serta ‘Application Programming Interface’ (API) yang terdedah kepada akses awam.
“Ini juga menunjukkan ketempangan pendekatan Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) apabila membina strategi bagi melaksanakan program agregasi data yang dirancang di bawah PADU.
“Itupun kita belum tahu apa sistem keselamatan termasuk penyulitan (encryption) yang sepatutnya melindungi data kita. Adakah sistem keselamatan telah diuji secara menyeluruh dan dibuktikan tidak dapat diceroboh dengan mudah? Atau kita akan nampak data kita dijual di Shopee atau jaringan gelap (dark web) tidak lama lagi?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Fayhsal berkata, keculasan itu tidak boleh dipandang enteng, malah kerajaan sepatutnya mengutamakan penggubalan undang-undang perlindungan dan perkongsian data.
Katanya, ia termasuk melalui sebuah Rang Undang-undang Omnibus yang dicadangkan oleh beberapa pihak sebelum ini.
“Yang paling utama, kini timbul defisit kepercayaan yang serius akibat ‘formula’ Menteri Ekonomi yang buat kerja separuh jalan seperti ini. Sekiranya tidak dibendung, ia berpotensi mewujudkan krisis keyakinan terhadap institusi kerajaan juga.
“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen seharusnya menyiasat insiden-insiden yang berlaku supaya keselamatan data rakyat dapat dijamin. Di mana Eksekutif gagal, Parlimen akan melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya. – UTUSAN