JASIN: Persiapan seorang pelajar perempuan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terjejas selepas rumah milik keluarganya di Kampung Teluk Baruh, Merlimau di sini musnah dalam kebakaran, kelmarin.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, bapanya, Azizol Pet, 41, berkata, kebakaran kira-kira pukul 9 pagi itu memusnahkan hampir 80 peratus rumah termasuk bilik anak perempuannya, Aisyah Qistina Azizol, 17.
Katanya, banyak buku nota, rujukan, latihan dan dokumen penting untuk kegunaan menduduki SPM hangus.
“Anak saya antara pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum. Kebakaran yang berlaku menyebabkan tumpuan anak terjejas.
“Dia kelihatan sedih dan trauma dengan kejadian yang berlaku tetapi saya menasihatinya supaya kuat dan kekal fokus untuk kertas peperiksaan seterusnya. Kerisauan dia ketika ini adalah tiada buku rujukan dan komputer riba untuk digunakan bagi mengulang kaji pelajaran,” katanya.
Menurut kakitangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu, kerugian yang dialaminya dianggarkan berjumlah RM300,000 kerana turut memusnahkan sebuah kereta dan empat motosikal.
“Ketika kejadian, saya tidak berada di rumah dan terus bergegas pulang sambil mengharapkan isteri dan anak-anak serta ibu yang berusia 75 tahun selamat. Api marak sangat cepat sehingga saya tidak sempat berbuat apa-apa.
“Saya reda dengan kejadian ini dan memerlukan masa untuk bangkit semula. Saya tidak mempunyai perancangan tentang rumah ini kerana mahu fokus kepada persiapan persekolahan anak-anak terlebih dahulu,” ujarnya. – UTUSAN