SEBERANG PERAI: Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan 9,600 wang kertas palsu dengan setiap keping bernilai RM100 pada Isnin minggu lalu.
Bagaimanapun, S. Karunagaran,37, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan 1,600 keping wang palsu RM100 dan 8,000 keping wang palsu RM100 cetakan sebelah sahaja yang diketahuinya palsu dan dengan niat menggunakannya sebagai tulen.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Inderawasih, Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, 14 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Namun, tertuduh merayu supaya jaminan minimum dikenakan terhadapnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Februari depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – UTUSAN