Peguam terkejut, prosiding pengampunan Najib tidak didedah  - Utusan Malaysia

Peguam terkejut, prosiding pengampunan Najib tidak didedah 

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prosiding pengampunan diraja  oleh Lembaga Pengampunan berlangsung penuh rahsia dengan nama  individu terlibat mahupun tarikh prosiding tidak didedahkan kepada umum.

Sehubungan itu, pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak `tercengang’ apabila timbul laporan oleh portal berita luar negara, Channel News Asia (CNA) yang mendedahkan  bahawa permohonan bekas Perdana Menteri itu akan didengar pada minggu ketiga, bulan ini.

“Anggota tetap Lembaga Pengampunan adalah Yang DiPertuan Agong (YDPA), Menteri Wilayah Persekutuan (bagi kes-kes yang melibatkan Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan Peguam Negara. Nama anggota-anggota lain dirahsiakan dan tidak pernah didedahkan.

“Oleh itu, adalah jelas bahawa sekiranya Lembaga Pengampunan akan bersidang berhubung permohonan Datuk Seri Najib, ia akan dilakukan dengan penuh kerahsiaan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Kami, peguam-peguam yang mewakili Datuk Seri Najib yang terlibat dalam petisyen pengampunan tersebut tidak pernah dimaklumkan mengenai langkah-langkah yang diambil oleh Lembaga Pengampunan berhubung permohonan anak guam kami.

“Oleh itu kami agak terkesima  bagaimana CNA membuat spekulasi mengenai berita yang tidak berasas ini,” kata peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam satu kenyataan media hari ini.

PASUKAN

Pada 1 Disember lalu, media melaporkan bahawa pasukan pembelaan Najib  belum menerima sebarang maklum balas berhubung permohonan pengampunan diraja itu.

Muhammad Shafee dalam laporan tersebut menyatakan, pihaknya akan menghantar surat kepada jabatan yang menjaga hal ehwal undang-undang dan bahagian berkenaan dengan pengampunan bagi mengingatkan mereka mengenai perkara tersebut.

Surat peringatan tersebut dihantar kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) pada 4 Disember lalu.

Selain itu, kenyataan media oleh Muhammad Shafee petang tadi menyatakan, selepas 4 Disember lalu, Najib dan para penguamnya `masih dalam kegelapan’ berhubung status permohonan pengampunan tersebut.

Muhammad Shafee dalam kenyataan itu turut mengingatkan media dan orang awam bahawa berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa pengampunan adalah kuasa prerogatif YDPA, tidak terhalang, tidak terikat dan bersifat mutlak.

“Oleh itu, ia adalah tindakan yang tidak hormat untuk meneka aktiviti Lembaga Pengampunan, yang sifat kerjanya mesti dijalankan secara rahsia untuk berkesan dalam  memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong,”kata Muhammad Shafee.

Tambah peguam terbabit pelanggaran kerahsiaan ini boleh menjurus kepada pelanggaran Akta Rahsia Rasmi 1972 dan boleh dihukum sewajarnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya