Peguam bela didakwa cuba lengahkan bicara Ebit Lew - Utusan Malaysia

Peguam bela didakwa cuba lengahkan bicara Ebit Lew

EBIT Lew (tengah) bersama Ram Singh (kiri) semasa hadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret, Tenom hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Ebit Lew menyifatkan bantahan untuk memanggil saksi kelapan yang dikemukakan peguam bela sebagai cubaan melengah-lengahkan perbicaraan kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memberitahu mahkamah, bantahan peguam bela, Datuk Ram Singh adalah cubaan untuk melengahkan prosiding kes tersebut.

Zahid memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan telah mematuhi arahan mahkamah pada 26 September tahun lalu untuk memberi masa kepada pihak pembelaan meneliti kandungan bahan bukti dalam kes berkenaan.

Malah, pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada mahkamah sebelum ini bahawa prosiding hari ini akan memanggil Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik PDRM, Inspektor Yip Chang Ching sebagai saksi.

“Jadi, saya mohon (kepada mahkamah) membenarkan Inspektor Yip memberi keterangan,” katanya di Mahkamah Majistret, hari ini.

Zahida memberitahu mahkamah saksi kelapan, Inspektor Yip akan memberi keterangan mengenai kandungan bahan bukti yang merupakan pemacu kilat yang mengandungi data daripada telefon bimbit tertuduh.

SAKSI

Hasrat pihak pendakwaan ingin memanggil Inspektor Yip sebagai saksi pendakwaan seterusnya menyebabkan pertikaman lidah antara kedua-dua pihak.

Pertikaman lidah antara Zahida dan Ram berlanjutan selama 15 minit sebelum Majistret membuat keputusan untuk membenarkan saksi kelapan, Inspektor Yip dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.

Ram dalam hujahnya memberitahu mahkamah sebagaimana diterangkan sebelum ini, Inspektor Yip tidak sepatutnya dipanggil sebagai saksi kerana pihak pembelaan masih menunggu pendengaran kes di Mahkamah Rayuan untuk membenarkan mereka membantah agar 90 gambar berunsur lucah yang diterima daripada LGMS itu tidak dijadikan sebagai bahan bukti dalam kes tersebut.

Malah, pihaknya juga telah mengambil pandangan pakar daripada LGMS mengenai 90 imej berunsur lucah yang terkandung dalam pemacu kilat dan cakera padat CD-R yang diberikan semasa sesi perbicaraan yang lepas.

Laporan daripada LGMS yang merupakan syarikat penyedia perkhidmatan keselamatan siber profesional yang menganalisis data digital itu seharusnya siap dalam tempoh sebulan.

Peguam mewakili Ebit itu turut memberitahu mahkamah bahawa 90 imej berunsur lucah itu tidak berkaitan dengan 11 pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh.

PANGADU

Mengenai dakwaan pihaknya cuba melengahkan perbicaraan, Ram membertahu mahkamah bahawa sejak dari hari pertama perbicaraan, pendakwaan tidak memanggil pengadu sebagai saksi biarpun pengadu tinggal di Tenom.

“Membuat tuduhan bahawa saya cuba melengahkan (perbicaraan) adalah tidak patut. Malah, jika Inspektor Yip dipanggil hari ini, kami kekal membantah sehingga keputusan dibuat di Mahkamah Rayuan yang ditetapkan pada April,” katanya.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, Nor Azizah Mohamad dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram Singh, Timothy Daut dan Chen Wen Jye. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN