PDRM, UKM jalin kerjasama perangi dadah - Utusan Malaysia

PDRM, UKM jalin kerjasama perangi dadah

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melibatkan pendidikan  dan latihan berkaitan dadah dilihat mampu menambah baik proses penyiasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam memerangi musuh nombor satu negara terutama bahan psikoaktif baharu (new psychoactive substances) 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan berkata, jaringan kerjasama ini diharap membantu mempertingkatkan lagi usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJN dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah secara lebih efektif.

Menurut beliau,  ia juga  memberi peluang kepada para penyelidik untuk meneroka ilmu baru yang boleh diguna pakai sebagai metodologi pelaksanaan operasi memerangi dadah. 

“Melalui kerjasama ini, PDRM hari ini menyerahkan dana RM1.2 juta kepada UKM untuk sewa beli instrumen makmal. Ia termasuk meningkatkan keupayaan penggunaan fasiliti makmal dalam menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan dadah dan NPS secara menyeluruh.

“Dana ini juga akan dimanfaatkan untuk penganjuran latihan kepakaran forensik narkotik kepada PDRM khususnya warga JSJN. Penyelidikan dan latihan akan dikelolakan Fakulti Sains dan Teknologi UKM.

“Jaringan kerjasama strategik ini diharap mampu untuk mempertingkatkan lagi usaha PDRM khususnya JSJN dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah secara lebih efektif,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Terdahulu, Ayob Khan menyerahkan ‘mock up’ cek bernilai RM1.2 juta kepada Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman sebelum menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama PDRM bersama UKM.

Menurut beliau, dana tersebut rentetan kerjasama sejak 21 Oktober 2022 apabila satu perjanjian persefahaman (MOU) ditandatangani oleh pihak PDRM Dan UKM.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, terdapat tujuh aspek penyelidikan yang akan dilaksanakan dalam kerjasama PDRM dan UKM, antaranya melaksanakan kajian dan penyelidikan berkaitan perincian sebatian aktif.

KIMIA

“Pertama, kajian ini akan menentukan apakah bahan-bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan dadah. 

“Ini bagi membolehkan pihak polis dengan kerjasama Lembaga Racun di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia untuk merangka satu SOP (prosedur operasi standard) atau undang-undang baharu, ataupun memperkemas undang-undang yang ada bagi mengawal ketat bahan bahan kimia tersebut,” katanya.

Seterusnya, Ayob Khan berkata, kajian itu juga bagi mengenal pasti bahan bahan kimia yang boleh mendorong pengguna menjadi lebih ganas dan terbabit dalam jenayah kekerasan dan harta benda. 

Katanya, mengikut kajian awal JSJN, hampir 60 peratus penagih dadah yang ditangkap terlibat dalam jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

“Kajian dan penyelidikan berkaitan penentuan kadar dos ketagihan bagi menentukan kadar minima dos yang boleh mendorong penagih ketagih dadah akan dilaksanakan selain menentukan proses rawatan dan pemulihan mereka kelak.

“Melalui kerjasama ini kita juga akan melaksanakan penyelidikan penjejakan molekul asal dadah bagi menentukan jenis dadah yang akan memudahkan penyiasatan pihak polis.

“Seterusnya membangunkan pangkalan dadah forensik NPS untuk rujukan agensi penguatkuasaan di Malaysia dan di Asia Tenggara. Pangkalan data ini akan ditempatkan di makmal forensik Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, katanya PDRM dan UKM juga akan bekerjasama dalam menghasilkan strip ujian jenis elektrod biosensor yang lebih berkualiti dan kajian bagi menentukan kepekatan residue dadah di loji rawatan kumbahan.

Ujarnya, bagi mengesan aktiviti dadah atau makmal dadah di premis yang sukar untuk diakses oleh pihak polis seperti komuniti berpagar, kediaman VIP dan bangunan tinggi

“Kita juga akan melaksanakan kursus jangka pendek yang mana setakat ini melibatkan lapan pegawai seorang pegawai berpangkat Asisten Superintenden dan tujuh inspektor.

“Mereka bakal mengikuti enam kursus jangka panjang dan dua sijil profesional untuk memantapkan lagi siasatan dan juga operasi terhadap sindiket dadah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya