PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menunggu keputusan patologi terhadap tujuh individu termasuk empat anggotanya yang ditahan selepas disyaki terlibat kegiatan memproses dan mengedar ketum di Brickfields.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, buat masa ini empat anggota polis berkenaan sudah digantung tugas.
Bagaimanapun, menurut beliau, siasatan lanjut berhubung kegiatan anggota polis itu sedang dijalankan.
“Kita sudah tahan kerja empat anggota yang ditangkap manakala individu lain yang ditahan pula (diambil keterangan) untuk siasatan.
“Buat masa ini, polis masih menunggu keputusan patologi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, tujuh individu termasuk enam anggota polis ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan memproses dan mengedar air ketum.
Pada 4 Januari lalu, dalam serbuan pada 2.15 pagi itu, polis menahan empat lelaki berusia 24 hingga 38 tahun yang juga anggota polis di sebuah rumah di Brickfields.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dilaporkan berkata, polis merampas daun ketum anggaran berat 18 kilogram dan air ketum anggaran berat 13.5 liter bernilai RM420.
Katanya, turut dirampas pelbagai peralatan memproses ketum, pakaian seragam polis serta wang tunai RM1,200.
Susulan penahanan itu, katanya, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kemudian menahan dua lagi anggota polis dan seorang lelaki awam yang disyaki terbabit kegiatan sama.- UTUSAN