KUALA LUMPUR: Polis tidak akan mengekstradisi raja dadah warga Malaysia yang diberkas di Laos pada 29 Disember lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa Thailand.
“Setakat ini tiada perancangan untuk membawa balik (individu berkenaan). Kita serahkan kepada kerajaan Thailand.
“Biarlah dia menghadapi pertuduhan di Thailand atas aktiviti dadah. Jika Thailand mempunyai cukup bukti, biar mereka ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bukit Aman di sini, hari ini.
Pada 2 Disember lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mengesahkan penahanan warga Malaysia di Laos.
Individu berkenaan sudah berada dalam senarai individu dikehendaki oleh PDRM sejak 2018.
Penahanan lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu dilakukan hasil pertukaran maklumat dan risikan JSJN Bukit Aman dengan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) dan Biro Pembanterasan Narkotik (PNSB) Thailand.
Lelaki berkenaan disenarai hitam selepas disyaki menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah di kawasan Segi Tiga Emas membabitkan tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Thailand sejak 2006. – UTUSAN