PETALING JAYA: Sebanyak 156,029 kes jenayah komersial direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lima tahun membabitkan kerugian RM14.33 bilion.
Pengarah Jabatan Siasatan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu melibatkan RM6.21 bilion kerugian direkodkan pada 2019; RM2.06 bilion (2020); RM2.2 bilion (2021), RM1.73 bilion (2022) dan RM2.11 bilion pada tahun lalu.
Menurut beliau, walaupun nilai kerugian menurun namun jumlah kes dicatatkan pada tahun lalu dilihat meningkat secara ketara iaitu 53.2 peratus berbanding lima tahun sebelumnya.
“Sebanyak 26,330 kes direkodkan pada 2019, 27,323 kes (2020), 31,490 kes untuk 2021 dan 30,536 kes pada 2022.
“Bagi sepanjang tahun lalu, sebanyak 40,350 telah direkodkan bagi jumlah kerugian kira-kira RM2.11 bilion,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Kata beliau, daripada jumlah terbabit, kira-kira 89.3 peratus melibatkan kes tipu iaitu 36,030 dengan kerugian RM1.68 bilion.
Jelasnya, sebanyak 1,215 kes melibatkan kes pecah amanah jenayah dengan kerugian RM380.37 juta, 47 kes salah guna kuasa (RM2.54 juta); 867 kes jenayah siber (RM35.6 juta) dan 138 kes pemalsuan (RM6.87 juta).
KERUGIAN
“Selain itu, sebanyak 970 kes wang palsu melibatkan kerugian kira-kira RM385,467, 994 kes ah long (RM5.47 juta) serta lain-lain (RM803,398),” kata beliau.
Menurut Ramli, sebanyak 34,497 kes penipuan dalam talian melibatkan pelbagai jenayah scam dengan kerugian RM1.28 bilion)
“Antaranya jenayah e-dagang (11,473 kes) dengan kerugian RM204 juta, 10,348 kes jenayah telekomunikasi (RM353.02 juta) dan kira-kira 5,386 kes pelaburan tidak wujud dengan kerugian sebanyak (RM472.1 juta).
“Kita turut merekodkan sebanyak 4,263 kes pinjaman tidak wujud (RM40.73) juta, jenayah e- kewangan (2,092) kes dengan kerugian RM105 juta) manakala 935 kes Love Scam (RM43.92 juta),” katanya.
Dalam pada itu, Ramli berkata, sebanyak 18,221 operasi dan serbuan sepanjang tahun lalu dilaksanakan.
“Sepanjang tempoh itu, seramai 22,911 individu turut berjaya ditahan dalam kesemua serbuan yang dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN