KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) semakin goyah apabila seorang demi seorang pemimpin kanan parti itu mengumumkan keluar daripada parti berkenaan.
Selepas Timbalan Presidennya, Datuk Juil Nuatim mengumumkan keluar daripada parti itu pada Mei tahun lalu, kini giliran Naib Presiden KDM, Datul Johair Matlani pula mengambil keputusan sama.
“Mulai hari ini 7 Januari 2024, Ahad, pada pukul 3.08 petang, saya Johair dengan ini isytiharkan undur diri daripada parti KDM dan melepaskan semua jawatan di dalam parti selaku Naib Presiden 1 dan Ketua Bahagian KDM Beaufort,” katanya.
Johair mengumumkan keluar daripada parti itu menerusi sebuah video tular berdurasi 2 minit 28 saat yang dimuat naik dalam laman media sosial semalam.
Johair yang juga bekas calon KDM bagi Parlimen Beaufort pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) itu berkata, keputusan yang diambil tidak melibatkan sebarang paksaan daripada mana-mana pihak sebaliknya, atas kerelaan hati mereka sendiri.
“Keputusan ini kami persetujui bersama dalam kalangan pimpinan jawatankuasa bahagian dan sayap-sayap parti bahagian tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.
“Selepas ini kami ingin menyatakan sokongan dan meneruskan perjuangan bersama Datuk Isnin Aliasnih selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Klias yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Klias dan Datuk Limus Jury sebagai ADUN Kuala Penyu merangkap Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuala Penyu,” katanya.
Menurutnya, turut bersama-sama dengannya keluar parti adalah seluruh pimpinan KDM bahagian Beaufort termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri.
Johair berkata, mereka meletak keyakinan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih mampu menerajui Sabah dengan semangat keluarga besar yang telah sedia ada di dalamnya gabungan berkenaan.
Parti KDM yang diasasnya oleh ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony ditubuhkan pada 18 Februari 2022, selepas beliau keluar daripada Parti Warisan (Warisan).
Semasa pergolakan politik pada Januari tahun lalu, KDM antara parti yang bersama-sama dengan Warisan dan sebahagian pemimpin UMNO Sabah yang bertindak ingin menjatuhkan kerajaan GRS.
Namun, pada 21 Februari, Peter selaku Presiden KDM kembali menyatakan sokongan terhadap pimpinan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.