Palsu keputusan urin: HSA sangkal 10 pakar patologi dipindahkan - Utusan Malaysia

Palsu keputusan urin: HSA sangkal 10 pakar patologi dipindahkan

DR. SAL ATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini sangkal laporan seramai 10 pegawai perubatan pakar patologi (Pathologists) dipindahkan keluar dari hospital itu ekoran pemalsuan keputusan ujian urin.

Pengarahnya, Dr. Sal Atan berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut sekali gus menafikan laporan sebuah akhbar arus perdana berbahasa Inggeris.

‘Pihak pengurusan hospital ingin menafikan kenyataan tersebut di mana tiada pegawai perubatan pakar patologi yang dipindahkan keluar melibatkan kes yang dimaksudkan di HSA.

“Urusan pengujian sampel urin adalah di bawah skop tugas Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) dan tidak melibatkan pegawai perubatan pakar patologi.

“Pada masa yang sama, individu yang terlibat dengan kes tersebut juga masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, akhbar berbahasa Inggeris itu dalam laporannya memaklumkan 10 pakar perubatan patologi telah dipindahkan dalam rombakan besar-besaran susulan kontroversi gangguan ujian air kencing.

Dalam laporan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon mendedahkan HSA satu-satunya hospital di wilayah selatan yang terlibat dalam sampel ujian air kencing untuk polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Dalam pada itu, Dr. Sal memohon mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian terhadap pihak yang terlibat sepanjang proses siasatan ini dijalankan.

“Anggota di HSA diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik dan berintegriti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya