Orang Asli lari atas bukit selepas gajah liar ceroboh kampung - Utusan Malaysia

Orang Asli lari atas bukit selepas gajah liar ceroboh kampung

PENDUDUK Orang Asli terpaksa melarikan diri ke atas bukit selepas gajah liar menceroboh Kampung Bujuk, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan semalam. -IHSAN PENDUDUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hampir 50 Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Bujuk, Pos Bihai di sini terpaksa melarikan diri ke atas bukit selepas gajah liar menceroboh kawasan perkampungan mereka, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, penduduk sempat menyelamatkan diri dan membina bangsal untuk berlindung.

Seorang penduduk penduduk, Asu Pandak, 65, berkata, kemunculan gajah itu disedari selepas terdengar bunyi haiwan tersebut.

“Penduduk yang tersedar terus bangun untuk menyelamatkan diri kerana bimbang gajah terbabit bertindak agresif.

“Ini merupakan kejadian kedua selepas kali pertama berlaku pada Oktober tahun lalu. Kami percaya gajah terbabit masih berkeliaran di kawasan kampung dan tidak berani untuk pulang ke rumah setakat ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Ajid Anjang, 55, memberitahu, mereka tidak berani kembali semula ke kawasan kampung kerana bimbang gajah tersebut akan muncul semula.

Katanya, mereka lebih risaukan keselamatan penduduk kerana terdapat bayi yang berusia empat bulan dan kanak-kanak.

“Gajah terbabit telah merosakkan tanaman kami seperti pisang dan ubi kayu yang menjadi sumber makanan penduduk di sini. Laporan sudah dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan mereka bagi menjamin keselamatan penduduk di sini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan berkata, pihaknya sudah menerima aduan daripada penduduk kampung terbabit.

Katanya, pihaknya akan menghantar bakul makanan ke Pos Bihai ini menggunakan helikopter bagi membantu penduduk berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN