GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar dari lima buah kampung di Pos Simpor di sini membuat 23 laporan polis selepas berdepan kerugian apabila tanaman mereka dirosakan gajah liar sejak setahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor, Dendi Johari berkata, setiap daripada individu yang membuat laporan itu kerugian
hasil antara RM4,000 sehingga RM6,000.
Menurutnya, serangan gajah liar sejak lebih setahun lalu telah menjejaskan rutin kehidupan penduduk termasuklah tidur turut terganggu apabila mereka perlu berjaga malam untuk mengawasi kebun.
“Antara kampung yang menjadi sering menjadi mangsa gajah liar ialah Kampung Jader Lama, Kampung Ceranok, Kampung Dandut, Kampung Keledang dan Kampung Sedal.
“Kami pernah beberapa kali mengadu masalah ini kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), namun masih tiada jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini hari ini.
Seorang penduduk Cubis Chele, 29, dari Kampung Jader memberitahu, dia membuat laporan polis itu selepas kebunnya diceroboh gajah liar pada Jumaat lalu.
Katanya, serangan gajah liar telah menyebabkan kerosakan ke atas kebun padi bukit seluas 1.2 hektar yang menyebabkan kerugian RM6,000.
“Apabila baru hendak memperoleh hasil daripada tanaman, namun dimusnahkan gajah liar itu lebih awal hingga menanggung kerugian. Kami melihat segala tindakan kawalan yang dijalankan pihak berwajib masih belum menunjukkan hasil,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan menerima 23 laporan daripada penduduk Orang Asli.