JOHOR BAHRU; Kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan melaksanakan Op Payung dalam menghadapi pelbagai kemungkinan berlaku banjir bagi membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan kelancaran membantu calon peperiksaan tersebut.
“Sekiranya hanya pusat peperiksaan sahaja yang terlibat banjir, calon akan disediakan tempat penginapan di sekolah dan penempatan di kediaman keluarga yang mempunyai akses terdekat ke sekolah. Makan dan minum akan disediakan dan pihak sekolah juga bertanggungjawab ke atas kebajikan calon dan petugas peperiksaan,” katanya di sini hari ini.
Norliza memberitahu, JPNJ juga akan menggunakan aset ATM dan APM bagi membantu membawa calon sekiranya banjir berlaku di jalan menuju ke pusat peperiksaan.
Katanya, kebebasan berpakaian diberikan kepada calon semasa peperiksaan dijalankan dan sekolah bertanggungjawab menyediakan peralatan menjawab kepada calon yang terlibat dengan banjir.
“Sekiranya pusat peperiksaan, jalan menuju ke pusat peperiksaan dan persekitarannya banjir, calon diberikan penangguhan menduduki peperiksaan oleh Pengarah Peperiksaan. Tarikh menduduki Peperiksaan SPM kali kedua akan ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan,” katanya.
Setakat ini, tiada cadangan dan keperluan jika peperiksaan ditangguhkan, sebaliknya akan berlangsung seperti yang dijadualkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Seramai 48,276 pelajar di Johor akan menduduki peperiksaan SPM 2023 di 364 pusat peperiksaan di seluruh negeri ini.
Sementara itu, sebanyak sembilan PPS yang melibatkan institusi pendidikan negeri Johor telah dibuka, enam di Kota Tinggi, dua di Mersing dan sebuah di Pasir Gudang bagi menempatkan seramai 1,046 mangsa termasuk 235 pelajar yang terkesan akibat banjir.
Peperiksaan SPM akan bermula esok hingga 11 Januari ini bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu, 17 hingga 23 Januari (Ujian Bertutur Bahasa Inggeris), 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Melayu), 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Inggeris) dan 30 Januari hingga 7 Mac (Peperiksaan Bertulis). – UTUSAN