PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan kehadiran lapan juta orang pelancong ke negeri ini pada tahun ini termasuk dalam kalangan pelancong dari Asia Barat.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, sehubungan itu kerajaan negeri sudah mengaturkan lebih 50 acara pelancongan di negeri ini selain lebih 200 produk pelancongan yang ada bagi menarik kehadiran jumlah pelancong terbabit.
Jelas beliau, selain kawasan pantai Port Dickson yang akan terus menjadi produk pelancongan utama, kerajaan negeri juga berusaha menarik kedatangan pelancong menerusi produk pelancongan pelaburan, pendidikan dan perubatan.
“Trend ejen pelancongan dari negara Asia Barat seperti Oman, Bahrain, Kuwait, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar selain Turkiye, Rusia dan India yang kini beralih dari pelancongan santai ke pelancongan pelaburan, pendidikan dan perubatan.
“Oleh itu, hari ini kami kumpulkan 40 ejen pelancongan Timur Tengah yang telah diterbangkan khusus untuk bertemu dan bekerjasama untuk menaikkan nama Negeri Sembilan dalam jadual program pelancongan mereka,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama ejen-ejen pelancongan dari Timur Tengah di sini hari ini.
Menjelas lanjut, Nicole Tan berkata, kerajaan negeri juga akan melaksanakan kajian bagi meningkatkan lagi produk pelancongan perubatan di negeri ini memandangkan trend kehadiran pelancong seumpama itu juga semakin meningkat di negara ini.
Menurutnya, mengambil contoh Pulau Pinang yang sudah terlebih dahulu mempunyai pasukan khas terdiri daripada pegawai perubatan untuk menarik kehadiran melalui sektor pelancongan perubatan di negeri tersebut.
“Ini kerana kos perubatan di Malaysia agak rendah berbanding negara lain. Jadi kita sudah ada beberapa hospital swasta yang mampu menawarkan khidmat perubatan dengan baik,” katanya lagi.-UTUSAN.