Najib tak puas hati dengan Man On The Run

Najib tak puas hati dengan Man On The Run

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taya­ngan dokumentari di perkhidmatan penstriman Netflix, Man On The Run yang menyentuh skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mencuri tumpuan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Membangkitkan isu subjudis, peguam bela kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah me­nyatakan dokumentari hampir dua jam itu dan mula ditayangkan di Netflix bermula 5 Janua­ri lalu turut bersifat menghina mahkamah kerana perbicaraan ma­sih berjalan.

“Program (dokumentari Man On The Run) sangat subjudis dan menghina mahkamah. Lebih serius lagi, bekas Peguam Negara, (Tan Sri) Tommy Thomas juga mengambil bahagian, membuat kesimpulan di luar mahkamah.

“(Pengarang Sarawak Report) Clare Rewcastle juga mengeluarkan pelbagai kenyataan, sebut mengenai AS$681 juta yang didakwa dicuri tetapi tak sebut AS$621 juta telah dipulangkan dan berbagai kenya­taan terhadap Najib termasuk Najib akan ambil apa juga tindakan bagi sesiapa yang menentangnya,” katanya.

Sehubungan itu, be­liau memohon agar pihak pendakwaan me­ngambil langkah sewajarnya berhubung dokumentari terbabit.

Tambahnya, beliau juga telah mendapat arahan daripada Najib untuk memfailkan permohonan menghina mahkamah terhadap Tommy dan Clare.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu, beliau hanya mengetahui me­ngenai dokumentari tersebut apabila dimaklumkan mengenainya pagi ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN