Nai'mah dakwa suaminya, Daim dianiaya kerana berjaya - Utusan Malaysia

Nai’mah dakwa suaminya, Daim dianiaya kerana berjaya

NA'MAH Abdul Khalid bercakap kepada media di perkarangan ibu pejabat SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid mendakwa suaminya dianiaya disebabkan kejayaan dalam bidang perniagaan dan industri.

Bercakap menerusi sidang akhbar sebelum masuk ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini, Nai’mah turut mendakwa kejayaan dikecapi Daim kini dijadikan alasan untuk memfitnah nama baik dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.

Menurut beliau, umum mengetahui Daim merupakan ahli perniagaan yang sangat berjaya sebelum menyertai kerajaan pada 1984.

Malah katanya, media secara meluas merujuk Daim sebagai hartawan dan jutawan sebelum memegang jawatan awam selama 40 tahun.

“Sebagai sebuah negara yang bebas dan mengamalkan demokrasi, tidak menjadi kesalahan untuk berjaya dalam bidang perniagaan dan industri sehingga mengecap kekayaan. Malah, ia menguntungkan negara melalui pembangunan membina ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Kini, sebuah kempen memutar belit maklumat dan persepsi dijalankan bagi memberi gambaran bahawa beliau seorang yang korup semata-mata kerana sangat kaya. la sesuatu yang tidak munasabah dan tidak masuk akal, malah tiada ahli perniagaan yang berjaya di negara ini akan telepas daripada tuduhan sedemikian. Di lapangan awam, dakwaan seperti ini tidak mudah hilang begitu sahaja,” katanya.

MENCEMAR

Dakwanya lagi, jawatan Perdana Menteri tidak seharusya digunakan untuk mencemar nama baik individu melalui sindiran dan tuduhan kononnya mengenai salah laku, ataupun digunakan untuk menyelesaikan pertelingkahan politik lampau.

“Inilah yang dilakukan oleh Perdana Menteri yang beberapa kali kebelakangan ini mendakwa suami saya memiliki kekayaan haram, tanpa memberikan sedikit pun bukti.

“Adakah Perdana Menteri mencadangkan ahli perniagaan Melayu yang berusaha keras dan berkebolehan tidak boleh menjadi kaya tanpa menggunakan jalan tidak sah atau haram? Ini hanya menguatkan tanggapan stereotaip palsu mengenai keupayaan orang Melayu,” katanya.

Katanya, walaupun Perdana Menteri tidak menyukai Daim, tetapi beliau seharusnya menghormati prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan salah oleh mahkamah.

“Apakah di Malaysia hari ini, apa-apa andaian yang terbit dari pentas buli Perdana Menteri sudah cukup untuk menghukum seseorang?

“Hari ini keluarga saya, esok lusa siapakah lagi akan menjadi mangsa?,” soalnya.

Nai’mah berkata, biarpun dirinya memberikan kerjasama kepada SPRM seperti yang dikehendaki undang-undang, beliau tetap mempersoalkan motif siasatan tersebut.

“Kami tahu kami akhirnya akan dibuktikan tidak bersalah,” katanya.

Terdahulu, Nai’mah tiba dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna perak kira-kira pukul 10.05 pagi.

Turut hadir untuk proses soal siasat oleh SPRM adalah dua anak lelaki Daim iaitu, Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN