Motif bunuh  Zayn Rayyan diperinci bagi kesan pelaku - Utusan Malaysia

Motif bunuh  Zayn Rayyan diperinci bagi kesan pelaku

ZAYN RAYYAN
ALLAHYARHAM ZAYN RAYYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Motif pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin perlu diperincikan bagi mengenal pasti pelaku yang terbabit dalam kes pembunuhan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu sudah dilakukan melebihi 90 peratus dari segi konvensional, saintifik dan forensik.

Tan Sri Razarudin Husain

Namun, kata beliau, pihak polis masih tidak mengetahui apa motif sebenar kanak-kanak terbabit dibunuh.

“Buat masa ini motif (pembunuhan) adalah sangat penting. Selagi kita tidak jumpa motif sebenar kita akan menyiasat secara menyeluruh,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, PDRM bersungguh-sungguh dalam siasatan ini dan sehingga malam ini masih ada mesyuarat yang dibuat.

LAPORAN

“Walaupun kita melihat masih ada lagi data-data dan laporan forensik yang belum kita terima, mungkin berkesudahan dengan negatif.

 “(Jadi) sebenarnya kita perlu melihat kepada motif dulu. Kerana Rayyan berusia 6 tahun, dia tidak mempunyai musuh, cuma dia autisme dan kita tidak tahu apa motif untuk dia dibunuh sedangkan dia autisme,” jelasnya.

Susulan itu, Razarudin berkata, polis kini memfokuskan maklumat risikan bagi memperincikan maklumat sedia ada ke arah memulakan tangkapan.

“Saya sudah berbincang dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan kita kini ke arah mengumpulkan risikan, mungkin akan memulakan tangkapan ke atas suspek-suspek yang kita anggap mempunyai 60 peratus keterangannya yang boleh kita jadikan mana-mana individu sebagai suspek.

“Tidak menolak kemungkinan, kita (polis) akan memanggil semula saksi-saksi sebelum termasuk kedua ibu bapa kanak-kanak autisme itu bagi membantu siasatan,” jelasnya.

PATOLOGI

Ditanya berhubung laporan patologi, Razarudin berkata, pihaknya mengekalkan keputusan laporan patologi yang dibuat sebelum ini.

Jelas beliau, proses patologi tidak akan dibuat sekali lagi melainkan polis mendapat maklumat lain sekiranya ada tangkapan baharu.

“Atau polis menerima permohonan kali kedua dari keluarga, buat masa ini kita mengekalkan pada laporan patologi sedia ada,”katanya.

Pada 5 Disember lalu, kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang di Damansara Damai di sini, sebelum ditemui meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.

Bagaimanapun siasatan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa.

  Pada 23 Disember lalu, media melaporkan polis meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) dalam semakan pangkalan data berkaitan beberapa maklumat yang diperoleh hasil siasatan setakat ini.

Setakat ini, pihak polis merakam keterangan 225 individu, selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya