Mokhzani Mahathir hadir ke SPRM hari ini - Utusan Malaysia

Mokhzani Mahathir hadir ke SPRM hari ini

Tan Sri Mokhzani Mahathir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Ahli perniagaan, Tan Sri Mokhzani Mahathir telah hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan.

Mokhzani hadir di Putrajaya kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Utusan Malaysia hari ini namun enggan mengulas lanjut.

“Ya, saya sahkan. Beliau hadir pagi tadi,” katanya secara ringkas.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, ahli perniagaan yang juga anak ketiga kepada seorang bekas Perdana Menteri dipercayai akan hadir di SPRM.

Siasatan yang dilakukan oleh SPRM di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Utusan Malaysia difahamkan, keterangan ahli perniagaan ini diambil selepas abangnya juga hadir di SPRM pada 17 Januari lalu.

Siasatan dilakukan SPRM terhadap ahli perniagaan ini dipercayai mempunyai kaitan pegangan saham beliau dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mendapatkan projek kerajaan.

Syarikat GLC itu dikatakan turut memenangi lesen fabrikasi struktur cari gali sebuah syarikat gergasi petroleum negara yang ketika itu bapanya merupakan Perdana Menteri.

Pada 17 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan anak kedua kepada seorang Perdana Menteri dipanggil SPRM berhubung aset bernilai tinggi dimilikinya di luar pesisir.

SPRM dalam kenyataan pada 18 Januari lalu mengesahkan telah memanggil Mirzan Mahathir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pukul 9.39 pagi.

Satu perintah notis telah disampaikan SPRM kepada beliau untuk melakukan pengisytiharan aset miliknya dalam tempoh 30 hari.

Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya