Mohamad Hanifah dilantik Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Mohamad Hanifah dilantik Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan

MOHAMAD HANIFAH ABU BAKER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker, 44, telah dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan.

Ketua Bersatu Bahagian Rasah itu dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang telah memimpin parti itu di negeri ini sejak Jun tahun lalu.

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu ketika dihubungi Utusan Malaysia turut mengesahkan perkara tersebut dan ia telah diputuskan semasa Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Bersatu di ibu negara, semalam.

Beliau turut memaklumkan Mohamad Hanifah juga dipersetujui dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan.

“Saya percaya seluruh bahagian Bersatu di Negeri Sembilan akan memberikan kerjasama baik, dengan kerjasama yang baik, tentunya, banyak perkara boleh dilakukan serta beroleh kejayaan. 

“Apa yang penting, Bersatu dan PN mesti memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa, sentiasa membangkitkan isu rakyat sambil berusaha memperbaiki kehidupan rakyat,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohamad Hanifah berkata, watikah pelantikan beliau sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan telah disampaikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepadanya, semalam.

“Terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin kerana beri peluang dan yakin kepada saya untuk mengetuai Bersatu Negeri Sembilan, saya akui ia bukan tugas yang mudah namun saya yakin akan menerima sokongan dan bantuan daripada semua ahli Bersatu di negeri ini.

“Dalam masa terdekat ini saya akan bertemu dengan kepemimpinan Bersatu negeri dan ahli-ahli bagi mengukuhkan kembali Bersatu di negeri ini.

“Saya juga berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Faizal atas bantuan yang telah beliau berikan semasa memimpin Bersatu Negeri Sembilan khususnya semasa menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu sehingga PN memenangi lima buah kerusi DUN termasuk dua kerusi untuk Bersatu,” katanya.

Sementara itu, beliau mengakui turut dimaklumkan juga oleh Tan Sri Muhyiddin mengenai pelantikan beliau sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan namun memberitahu watikah pelantikan tersebut belum diterimanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya