Miskin macam mana pun, tetap kena pergi sekolah

Miskin macam mana pun, tetap kena pergi sekolah

REBECA Gilong (kanan) bersama ibunya, Atarin Siguil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: “Miskin ma­cam mana pun kehidupan kami, pendidikan anak-anak sentiasa jadi keutamaan.”

Demikian luahan Atarin Siguil, 53, yang tinggal di Kampung Tiku terletak jauh di pedalaman Penampang dan hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Ibu kepada sembilan anak ini berkata, biarpun mereka suami isteri tidak berpelajaran tinggi, namun anak-anak perlu mendapat pendidikan sempurna sekurang-kurangnya tamat sekolah menengah.

“Sekarang ada tiga anak kami masih bersekolah. Dua sekolah menengah dan seorang bersekolah rendah.

“Saya sangat pentingkan pelajaran anak-anak sebab sekarang susah untuk dapat kerja kalau tiada kelulusan. Walaupun kami dari keluarga susah tapi anak-anak kena bersekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Atarin sentiasa ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam pendidikan agar dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka menjadi lebih baik.

Kini, harapan itu turut di­letakkan pada anak bongsunya, Rebeca Gilong yang terpilih menerima bantuan daripada Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Putrajaya dan Persatuan Kebajikan dan Sosial Sakag Sabah (SWAG).

Dia berharap bantuan wang tunai RM100 setiap bulan bagi tempoh setahun yang diterima dapat menyuntik semangat Rebeca untuk fokus kepada pelajaran dan belajar hingga ke pe­ringkat lebih tinggi.

Bagi Rebeca yang merupakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Buayan, Penampang, belajar di sekolah luar bandar sentiasa membuatkan dia ingin melihat kemodenan yang ada di luar daerahnya.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu berkata, pendidikan adalah satu-satunya cara untuk membolehkan dia membantu meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga.

Dia memberitahu, ayahnya bekerja sebagai pengawal ke­selamatan di sekolah manakala ibunya suri rumah.

Anak kampung yang bercita-cita menjadi doktor itu berkata, dia agak bertuah kerana sekolahnya dilengkapi kemudahan asrama.

“Kami dibenarkan keluar asrama sekali dalam tempoh dua minggu. Apabila dibenarkan pulang, kami akan berjalan kaki beramai-ramai kira-kira 45 minit meredah hutan belantara dan sungai untuk sampai ke rumah.

“Biasanya ibu akan tunggu saya berhampiran sungai untuk sama-sama menyeberang ke­rana bimbang berlaku sebarang insiden.

“Namun, sekiranya kereta cikgu masih kosong, ada kala­nya ibu akan minta tolong cikgu hantar kami pulang sampai rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya