MCA disaran tinggalkan  BN sertai PN - Utusan Malaysia

MCA disaran tinggalkan  BN sertai PN

TERESA KOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MCA disaran meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan   kembali kepada Perikatan Nasional (PN).

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata, ini disebabkan beberapa tindakan MCA sebelum ini yang dilihat tidak berprinsip sehingga menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa parti itu sememangnya `sesat’.

Malah, menurut beliau, dakwaan bahawa MCA `sesat’ adalah realiti yang tidak boleh disangkal Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong. 

“Selepas  ‘Langkah Sheraton’ pada 2020, MCA segera membentuk kerajaan dengan Pas dan parti politik lain melalui pintu belakang. 

“Sebelum ini, MCA pernah kuat mengecam DAP kerana bekerjasama dengan Pas di bawah Pakatan Rakyat di peringkat negeri, tetapi pada 2020, MCA bertukar pendirian politik dan menampar mulutnya sendiri dengan bekerjasama dengan Pas dalam kerajaan. Bukankah ini kehilangan arah dan  ‘sesat’ ? ” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Terdahulu, dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menyifatkan MCA kini agak ‘sesat’ kerana Ka Siong dilihat gemar menyerang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Dalam pada itu, Teresa berkata, tindakan Ka Siong dan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng yang secara senyap menandatangani surat akuan bersumpah (SD)  menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan bekerjasama dengan Pas antara faktor MCA disifatkan sebagai `sesat’.

“Sokongan dua ahli parlimen MCA terhadap Muhyiddin telahpun disahkan oleh Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 30 November pada tahun sama, dan kedua-dua mereka memang tidak pernah menafikan tingkah laku rahsia ini

“Motif Ka Siong dan rakannya menandatangani SD menyokong Muhyiddin secara rahsia adalah semata-mata untuk menjadi menteri sehingga sanggup tikam belakang BN  menunjukkan betapa taksubnya beliau ingin mendapatkan jawatan dalam Kabinet. Ini mencerminkan MCA memang telah hilang prinsip politik dan sesat dari segi hala tuju politik,” ujarnya.

Tambah Teresa, pendirian MCA yang mengambil pendekatan berdiam diri dalam isu membabitkan hak asasi manusia dan kebebasan individu antara punca parti itu digelar ‘sesat’.

“Pas telah berulang kali mengeluarkan kenyataan dan dasar yang melanggar hak asasi manusia dan kebebasan individu, seperti mengenakan denda terhadap orang yang pakai seluar pendek dan sebagainya, tetapi MCA tidak melemparkan kritikan terhadap Pas seperti dahulu, bukankah ini sekali lagi menunjukkan MCA tidak berprinsip dan sesat?” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya