MBS akan lebih teliti beri lesen perniagaan, elak berlaku 'ali baba' - Utusan Malaysia

MBS akan lebih teliti beri lesen perniagaan, elak berlaku ‘ali baba’

ANGGOTA penguat kuasa MBS menyita barang di sebuah premis perniagaan yang diuruskan warga asing di Cempaka Court, Desa Cempaka, Nilai, Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan menumpukan soal pemberian lesen perniagaan kepada individu yang benar-benar layak sahaja bagi mengelakkan berlakunya lesen peniaga tempatan di ‘ali baba’.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, perkara terbabit akan diberi tumpuan secara berterusan dan terperinci yang pada masa yang sama dapat mengekang isu lambakan peniaga asing khususnya di kawasan Nilai.

“Hasil daripada beberapa serbuan dilaksanakan penguat kuasa MBS ke atas premis perniagaan memang kami dapati banyak telah disalahgunakan (lesen perniagaan diuruskan warga asing). 

“Tahun ini MBS akan memastikan soal pemberian lesen perniagaan hanya kepada peniaga yang betul-betul layak sahaja,” katanya hari ini.

Menurut beliau, isu premis perniagaan diuruskan warga asing perlu dibanteras dan tidak boleh dibiarkan terus berleluasa.

“Serbuan juga akan terus dilakukan dan sekiranya mendapati premis perniagaan tempatan diuruskan warga asing, notis kompaun akan dikeluarkan serta-merta mengikut undang-undang kecil yang kami ada dan barangan juga disita. 

“Isu besar yang berlaku adalah kadang-kadang lesen peniaga tempatan ada tetapi pekerjanya adalah warga asing. Oleh itu MBS akan terus memantau dan menjalankan serbuan berterusan bersama dengan agensi lain,” katanya.

Jelas beliau, sepanjang tahun lepas sahaja, sebanyak 41 premis perniagaan yang diuruskan pekerja asing telah disita di daerah ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya