SEREMBAN: Mayat sepasang suami isteri ditemukan di dalam rumah di sebuah kondominium di Jalan Keliling di sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pada pukul 12.49 tengah hari tadi, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban telah menerima maklumat kes kematian seorang lelaki warganegara asing berusia 34 tahun dan seorang wanita berusia 31 tahun di rumah mereka.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-duanya adalah pasangan suami isteri.
“Siasatan di tempat kejadian dan pemeriksaan pada tubuh badan si mati mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
“Mayat pasangan tersebut dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk post-mortem,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Arifai, hasil siasatan juga mendapati suami merupakan seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah antarabangsa di Port Dickson manakala si isteri merupakan doktor di sebuah klinik pergigian di Linggi, Port Dickson.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Adi Khusaini Saripudin di nombor telefon 012-77-7282 atau IPD Seremban di talian 06-6033222,” kata Arifai lagi.-UTUSAN.