PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli-ahli politik membabitkan wakil rakyat jika negara berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa menyekat skim saraan perkhidmatan awam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan membelanjakan sehingga RM2 bilion setahun untuk membayar pencen bekas ahli parlimen dan bekas anggota Kabinet termasuk Perdana Menteri.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, ketika ini ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat iaitu ahli parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri atau dilantik ke dalam jawatan eksekutif seperti exco, menteri, timbalan menteri layak menerima pencen.
Menurut beliau, kerajaan sepatutnya memikirkan untuk memansuhkan pencen kepada kumpulan `orang politik’ terlebih dahulu kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar lima tahun berbanding penjawat awam sehingga 30 tahun.
“Kumpulan ini bukan sahaja menerima elaun serta peruntukan yang tinggi semasa berkhidmat malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun.
“Keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah mengkaji bagi kes-kes yang berkhidmat waktu singkat tetapi menikmati faedah saraan yang agak selesa dan bukannya menyasarkan kepada penjawat awam sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam bermula Februari ini berstatus tetap tetapi tidak berpencen.
STATUS
Beliau berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya berpandangan kerajaan tidak sepatutnya memansuhkan skim pencen penjawat awam yang secara puratanya berkhidmat untuk negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan.
Katanya, dengan skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini, skim caruman KWSP dilihat tidak membantu penjawat awam mempunyai simpanan hari tua yang baik selepas persaraan kelak.
“Disebabkan itulah kebanyakan penjawat awam lebih memilih skim pencen kerana ia adalah keistimewaan yang terbaik kepada mereka,” katanya.
Kata beliau, ketika ini penjawat awam dibenarkan membuat pilihan sama ada memilih skim berpencen ataupun caruman KWSP.
“Walaupun terdapat penjawat awam yang memilih skim caruman KWSP, tetapi kebanyakan mereka lebih memilih skim berpencen kerana ia dianggap sebagai lebih baik dan menjamin kesejahteraan selepas persaraan kelak,” katanya.
LIBAT URUSA
Oleh itu, kata Adnan, kerajaan sewajarnya mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum terus menetapkan skim caruman KWSP secara mandatori kepada lantikan baharu.
Katanya, pandangan pihaknya amat jelas iaitu sekiranya kerajaan mahu melaksanakan sesuatu perkara perlulah berlandaskan prinsip tidak dikurangkan faedah semasa yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini.
“Kerajaan harus memastikan gaji yang diterima hari ini mampu memberi kesejahteraan hidup untuk penjawat awam dan dalam masa yang sama gaji ini mampu memberi simpanan untuk hari persaraan kelak. Sekiranya kerajaan tetap ingin menamatkan skim pencen ini, ia hendaklah terpakai kepada lantikan politik yang layak menerima pencen ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Adnan berkata, Cuepacs menyambut baik pencerahan Jabatan Perkhidmatan Awam bahawa pengambilan secara lantikan kontrak sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan adalah langkah sementara bagi pengambilan baharu dalam perkhidmatan awam bermula 1 Februari.
Beliau berkata, perkara itu bermakna perjawatan tetap masih wujud tetapi dalam tempoh interim ini hanya dilantik sebagai kontrak sebelum dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang akan dimuktamadkan kelak.
“Situasi semasa ini tidak melibatkan lantikan tetap sebelum ini dan tidak seperti kefahaman orang ramai bahawa lantikan baharu kelak hanya diberikan status kontrak sahaja,” katanya.- UTUSAN