JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini semakin berkurangan ekoran cuaca cerah hari ini dengan seramai 5,026 mangsa daripada 1,399 keluarga ditempatkan di 39 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka setakat pukul 6 petang ini.
Situasi itu menunjukkan penurunan berbanding seramai 6,932 mangsa di 45 PPS pada pukul 1 petang tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, Kota Tinggi kekal daerah paling terjejas dengan seramai 4,139 mangsa dipindahkan ke 24 PPS, diikuti Kluang dengan 350 mangsa di tiga PPS.
“Johor Bahru menyaksikan seramai 338 mangsa ditempatkan di tiga PPS; Segamat seramai 97 mangsa di tiga PPS, Batu Pahat dengan 87 mangsa di dua PPS dan Pontian seramai 17 mangsa di sebuah PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor turut memberitahu, banjir yang melanda negeri ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa setakat ini.
Jabatan Meteorologi masih mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Dua sungai juga telah mencapai paras berbahaya, iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dan Sungai Kepala Orang di Kota Tinggi. – UTUSAN