KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Pasir Puteh bertambah kepada 354 pagi ini berbanding 143 orang setakat pukul 4 petang semalam.
Sekretariat Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 8 pagi ini kesemua mangsa dari 122 keluarga itu berlindung di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Canggai dan SK Wakaf Raja.
“Daripada jumlah itu SK Canggai menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 326 orang diikuti SK Wakaf Raja (28).
“Kesemua sungai-sungai utama di negeri ini masih berada pada bacaan normal kecuali Sungai Kelantan di Tangga Krai (Kuala Krai) yang melepasi bacaan berjaga-jaga. Sungai Semerak di Jambatan Melor pula berada pada tahap amaran,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, amaran hujan berterusan iaitu peringkat buruk dijangka berlaku hari ini.
Kata kenyataan itu lagi antara kawasan yang dijangka terlibat ialah
Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.-UTUSAN